CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, 1 April 2012

DEFINISI

02 April 2012, Isnin

a) Bidalan
- Bidalan lebih memberatkan tentang sifat melekatnya di mulut orang ramai dan tentang bandingan dan teladan yang ada di dalamnya (Za'ba, 2002: 170).Contohnya, ikut suka luka, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

b) Pepatah-pepatih
- Pepatah ialah kiasan yang mengandung erti sebenarnya, digunakan untuk mematah atau memutuskan pembicaraan orang lain. Pepatah lebih memberatkan tentang sifat ringkasnya, bijak perkataannya dan benar pengajarannya (Za'ba, 2002 :170). Contohnya, alah bisa tegal biasa.

c) Kata-kata pujangga
-   Kata-kata hikmat adalah retorik ataupun seni pengaturan makna kehidupan melalui alatan makna  kata bagi menjana pemikiran khalayak. Kata-kata pujangga sering dijadikan sebagai panduan, pencetus  semangat, pemberi inspirasi dan renungan dalam kehidupan kerana ia penuh dengan falsafah yang diperoleh hasil daripada pengalaman dan pengamatan pencetusnya (Jeniri Amir, 2006:152). Contohnya kata-kata Shakespeare, "Dunia adalah pentas dan manusia sebagai pelakonnya."

d) Hadis Melayu
- Hadis Melayu ialah peribahasa ataupun perumpamaan. Banyak daripadanya  berasaskan pegangan agama, sebabnya setiap anjuran ke arah berbuat baik itu adalah asas ajaran Islam ( Dr. Hm Tuah Iskandar al-Haj, 2008:104). Contohnya, "Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang itu mengikut apa yang diniatkannya" (Hadis Riwayat Bukhari).

e) Perbilangan
-  Perbilangan ialah susunan kata-kata yang berkerat-kerat. Ia dilafazkan satu persatu seperti orang membilang sesuatu perkara. Biasanya perbilangan ini telah menjadi sebahagian daripada undang-undang adat dalam masyarakat (Supyan Hussin & Azhar Jaludin, 2006:93). Contohnya, bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.

f) Gurindam
- Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 491), gurindam ialah sejenis bentuk puisi yang terdiri daripada dua baris, berisi dengan berbagai-bagai pengajaran. Contohnya, gurindam nasihat.

     Apabila banyak berkata-kata
     Disitulah jalan masuk dusta.

g) Seloka
- Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005a: 376-377), seloka ialah sejenis puisi Melayu tradisional yang berbentuk karangan berangkap yang mengandungi unsur ejekan, giatan, sindiran, jenaka atau gurau senda dan digunakan untuk menyindir sambil mengajar. Contohnya, Seloka Pak Kaduk.

h) Tamsil
- Menurut Kamus Dewan (2007: 1591), tamsil ialah persamaan sebagai umpama (misal), misalan. Tamsil  adalah misalan yang berkias dan mengandungi pengajaran dan teladan. Contohnya, keras-keras kerak nasi, kena air lembut juga.

i) Peribahasa
-Menurut Za'ba (1965), peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataanya. Contohnya, cubit paha kanan, paha kiri pun merasa juga. Maksudnya, jika seseorang itu menyusahkan kaum keluarganya sendiri maka ia pun akan merasa susah juga.

j) Simpulan bahasa
-Menurut Abdullah Hassan (1986), simpulan bahasa ialah ungkapan yang terjadi dalam rentetan yang sesuai dengan pola frasa bahasa Melayu. Contohnya, berkepala dua. Maksudnya, tiada pendirian dan memihak ke sana dan memihak ke sini.

k) Ibarat
- Menurut Kamus Dewan (2007: 556), ibarat ialah umpama, seperti, misal. Contohnya, ibarat bunga, segar  dipakai, layu dibuang.

l) Perumpamaan
- Menurut  Awang Had Salleh dan Abdul Razak Abu (1990:187), perumpamaan adalah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada apa yang diucapkan atau ditulis dalam ayat itu, atau yang membandingkan sesuatu dengan benda lain. Contohnya, siapa yang makan lada, dialah yang terasa pedas. Maksudnya, siapa yang membuat perkara yang tidak baik, dialah yang terasa.



No comments:

Post a Comment