CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, 6 March 2012

SEKEPING TIKET BAS


08 Mac 2012, Khamis

Pada hari ini, saya tertarik untuk menceritakan tentang pengalaman saya semasa ingin pulang ke kampung halaman. Cuti pertengahan semestar telah bermula. Sudah semestinya ramai pelajar yang tidak melepaskan peluang ini untuk balik ke kampung masing-masing termasuklah saya. Bebanan tugasan akan menjadi lebih ringan apabila dapat melihat raut wajah ibu dan ayah di kampung. Biasalah suasana baru dapat menimbulkan perasaan yang lebih baik. Namun, ada sesetengah pelajar yang lebih suka menghabiskan cuti mereka di kolej kediaman atau rumah sewa masing-masing. Hal ini sangat ketara bagi saya, kerana saya akan cuba balik ke kampung apabila cuti menjelma. Maklumlah ayah dan ibu sudah berusia. Saya cuba meluangkan masa yang ada untuk bersama mereka. Bahkan saya berasa sangat bertuah kerana memiliki ayah dan ibu yang penyayang, memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada saya.

      Namun begitu, saya telah mengalami kesulitan semasa menaiki bas untuk pulang ke kampung. Kesulitan ini berpunca daripada sikap pemandu bas itu sendiri. Pemandu bas tersebut mengamalkan sikap yang kurang baik dan bekerja sambil lewa. Saya berasa sangat kecewa dan kesal dengan layanan yang diberikan oleh salah seorang pemandu bas tersebut. Walhal saya cuma memberitahu kepadanya bahawa tempat saya telah diduduki oleh seorang wanita. Wanita tersebut memberitahu saya bahawa pemandu bas meyuruhnya duduk ditempat saya kerana tiketnya mempunyai nombor yang salah. Sebenarnya saya tidak marah dengan wanita itu cuma, saya berasa sangat terkilan kerana perkhidmatan yang diberikan tidak setimpal dengan bayaran yang saya keluarkan. Sepatutnya masalah ini tidak berlaku dan semua penumpang perlu duduk ditempat masing-masing berdasarkan nombor pada tiket tersebut.

     Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk bertanya tempat yang boleh saya duduk setelah tempat saya diambil alih oleh wanita itu. Namun, pak cik bas tersebut telah menengking dan memarahi saya dan berkata "duduklah mana-mana pun"!!! dengan muka yang bengis dan nada suara yang kuat. Saya berasa sangat terkejut dan sedih kerana saya bertanya dengan baik tetapi pak cik tersebut memberi layanan yang sangat buruk dan tidak mengambil tahu hak saya sebagai pengguna pengangkutan awam. Saya cuma berharap perkara yang berlaku ke atas saya tidak akan terjadi kepada sahabat-sahabat saya yang lain. 

Ulasan: Hormatilah semua lapisan masyarakat walaupun dia lebih muda daripada kamu kerana sekiranya kamu ingin dihormati, kamu perlulah menunjukkan rasa hormat terhadap orang lain terlebih dahulu agar diri kamu dihormati dan dipandang tinggi kelak.