09 Mac 2012, Jumaat
Hari ini saya ingin berkongsi mengenai pengalaman semasa saya pergi ke Pekan yang berdekatan dengan rumah saya. Pada pagi yang hening, saya pergi bersiar-siar di sebuah pekan yang berhampiran dengan rumah saya. Kadang-kala saya ditemani oleh ayah dan ibu atau adik. Saya sangat senang hati dengan sifat keprihatinan ayah dan ibu yang selalu mengambil berat tentang anak-anaknya apatah lagi tentang puterinya. Saya tidak dibenarkan untuk keluar rumah tanpa ditemani oleh sesiapa dan hendaklah pulang tepat pada waktu yang dijanjikan. Pesanan ayah dan ibu masih terngiang-ngiang di kotak ingatan saya. Kata ayah "gunakan sebaik mungkin kepercayaan yang diberikan olehnya dan jangan sekali-kali menyalahguna kepercayaan yang diberikan terhadap saya". Dulu, ayah sering menemani saya keluar bersiar-siar ke pekan. Kini, ayah sudah semakin uzur dan saya perlu belajar untuk berdikari.
Pada pagi itu, saya mengambil keputusan untuk ke pekan kerana ingin membeli beberapa buah buku rujukan. Pada ketika itu, saya belum mempunyai lesen memandu dan hanya menaiki teksi untuk ke pekan. Pemandu teksi itu telah menghantar saya di seberang jalan kerana kesesakan lalu lintas. Tanpa berlengah saya turun dari teksi dan berjalan untuk menuju ke kedai buku tersebut. Semasa saya sedang berjalan, tiba-tiba saya terdengar seorang lelaki tua memanggil salah seorang wanita yang lalu di sekitar jalan saya yang lalui. Saya berasa hairan kerana pak cik tua itu seorang yang buta dan sedang berdiri di pinggir jalan. Saya terdengar pak cik itu meminta wanita tersebut untuk membantunya melintas jalan. "Nak, boleh tak kamu menolong pak cik melintas jalan kerana pak cik mahu ke kedai di seberang jalan.". "Pak cik dah lama berdiri di sini hendak melintas jalan tetapi tidak ada seorang pun yang ingin menolong pak cik untuk melintas jalan, kata lelaki tua itu." Saya berhenti seketika dan mendengar perbualan antara pak cik tua itu dengan wanita tersebut. Saya berasa sangat kasihan pada pak cik tersebut kerana cuaca pada waktu panas terik dan jam saya hampir menunjukkan pukul 11.30 pagi. Namun begitu, wanita tersebut terus mencelah dan menyatakan "Saya tidak mahu pergi ke sana jadi pak cik carilah orang lain". Pada ketika itu, saya pergi menghampiri pak cik tersebut. Dengan lantas, wanita itu menunding jari ke arah saya dan menyuruh saya menghantar pak cik tua tersebut ke seberang jalan. Kemudian, wanita tersebut terus bergegas dari situ.
Saya berasa sangat kecewa dengan sikap wanita itu kerana menolak permintaan pak cik tersebut tanpa rasa belas kasihan. Namun begitu, saya berasa sangat bangga kerana Allah S.W.T telah memberi peluang kepada saya untuk menolong manusia yang kurang bernasib baik. Justeru, saya terus memimpin pak cik tersebut untuk menghantar pak cik tua itu ke seberang jalan. Dalam perjalanan, saya sempat menanyakan pak cik tersebut tentang anak-anaknya. Saya berasa sangat hairan kerana sekiranya pak cik tersebut mempunyai anak sudah semestinya beliau tidak dibiarkan sendirian untuk ke pekan. Semasa saya sedang berteka-teki di benak fikiran, pak cik tua itu telah menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai anak dan hidup sebatang kara. Tambahan pula, beliau jarang ke pekan tetapi pada hari ini beliau terpaksa ke pekan kerana ingin membeli barang keperluan. Pak cik itu juga sempat memberitahu saya bahawa sejak kecil lagi beliau tidak mempuanyai deria penglihatan dan terpaksa untuk berdikari.
Pada mulanya saya ingin menghantar beliau ke tempat yang ingin ditujui. Namun, pak cik tersebut menolak dengan baik dan mengucapkan terima kasih kepada saya kerana telah membantunya melintas jalan. Saya berasa sangat terharu kerana seorang individu yang tidak mampu melihat sejak kecil begitu bersemangat mengharungi tanpa keluh-kesah.
Ulasan: Beryukurlah dengan perkara yang dikurniakan oleh Allah S.W.T terhadap diri kita dan jagalah tutur tertib apabila bercakap dengan orang yang lebih tua. Tambahan pula, kita hendaklah ringan tulang dalam membantu orang lain terutama bagi individu yang kurang upaya.