16 Mac 2012, Jumaat
Baru-baru ini, saya telah berurusan dengan pihak bank disebabkan beberapa masalah yang dihadapi. Jadi, saya tertarik untuk berkongsi cerita mengenai perbualan saya dengan pegawai bank tersebut. Seperti dialog di bawah :
Pegawai bank : Ada apa yang i boleh bantu u?
Saya : Saya mengalami masalah untuk pemindahan
wang ke akaun.
wang ke akaun.
Pegawai bank : Sekejap ye, i try check
Saya :Terima kasih
Menerusi perbualan ini, saya melihat rata-rata masyarakat kita gemar menggunakan bahasa rojak sebagai perbualan harian mereka tidak kira sama ada urusan formal atau tidak formal. Bahasa rojak merupakan bahasa yang mempunyai istilah bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam ayat yang sama. Bahasa rojak dinamai dengan perkataan rojak kerana tindakan yang mencampur-adukkan bahasa seperti rojak yang bercampur baur.
Sebenarnya, penggunaan bahasa rojak amat popular bagi kaum India dan Cina kerana mereka kurang fasih berbahasa Melayu. Jadi, mereka menggunakan bahasa Inggeris bagi menggantikan kosa kata bahasa Melayu yang tidak mereka ketahui. Sememangnya kita perlu akur dengan kekangan ini kerana mereka telah mencuba untuk mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan harian. Jadi, kita seharusnya memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari bahasa Melayu dengan lebih baik.
Namun begitu, penggunaan bahasa rojak juga sering digunakan dalam kalangan 'orang kita'. Keadaan ini telah menyebabkan bahasa Melayu semakin terpinggir. Terdapat beberapa punca utama yang menyebabkan penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat kita iaitu sikap penutur itu sendiri, terpengaruh dengan filem atau drama yang ditayangkan, penggunaan bahasa rojak dalam media cetak seperti komik dan sebagainya. Bagi golongan remaja pula, mereka menggunakan bahasa rojak ini sebagai budaya ikutan dalam kehidupan seharian mereka. Selain itu, sikap penutur yang ingin menonjolkan kehebatannya dengan menguasai satu bahasa lagi. Walau bagaimanapun, mereka mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris yang sebenar dan seterusnya menyebabkan bahasa rojak semakin menular.
Ulasan : Sebagai rakyat Melayu yang jati, kita hendaklah menunjukkan contoh yang baik kepada kaum Cina dan Kaum India tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul. Dengan itu, mereka akan dapat mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mudah dan berkesan. Oleh itu, penggunaan bahasa rojak dalam kalangan "orang kita" perlu ditangani dengan segera agar tidak tersebar dalam aspek penulisan kelak.
saya orang Indonesia baru tahu ada bahasa Rojak di Malaysia
ReplyDelete