CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, 7 March 2012

RAHSIA DI SEBALIK KATA SAPAAN


07  Mac 2012, Rabu

Hari ini saya tertarik mengenai topik kata sapaan yang berbeza bagi negeri masing-masing. Sebenarnya ada rahsia di sebalik kata sapaan seperti "aku" dan "engkau" yang sesuai digunakan bagi teman yang terlalu akrab dan rapat manakala "saya" dan "awak" untuk kata sapaan yang formal. Jadi, tidak hairanlah sekiranya terdapat pelbagai kata sapaan yang digunakan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.

     Bercerita tentang kata sapaan, saya teringat tentang kisah seorang budak bandar yang baru berpindah ke kampung kami. Amin, bukan nama sebenar sangat peramah dan mudah bergaul mesra. Jadi, tidak hairanlah beliau mudah mendapat teman dan diterima baik oleh kami. Namun begitu, Amin dianggap masih asing bagi kami kerana beliau baru menyertai kumpulan kami. Jadi, sesetengah perkara yang kami lakukan tidak semestinya Amin boleh turut serta dan perlu mendapat persetujuan kami. Pada mulanya, Amin begitu sopan dan ber "saya" dan  ber "awak" dengan kami tetapi disebabkan terikut-ikut dengan percakapan kami dan semakin akrab beliau mula selesa untuk ber "aku" dan ber "engkau". Bagi masyarakat Cik Siti Wan Kembang, kawan yang dianggap rapat sahaja boleh melemparkan kata-kata yang kasar terhadap sahabatnya kerana ia dianggap sebagai simbolik terjalinnya sebuah ikatan mesra antara kami. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya anda sering mendengar perbualan yang menggunakan kata-kata yang kasar dan kesat dalam kalangan masyarakat negeri ini seperti bodoh, gila, sengal, biol, dan sebagainya. Namun begitu, setiap ungkapan yang dilemparkan tidak bertujuan untuk menguris perasaan seseorang sebaliknya untuk menjalinkan kemesraan antara sahabat-sahabat karib.



Ulasan : Setiap kata sapaan yang digunakan mengandungi rahsia yang tersirat. Oleh itu, kita hendaklah bijak menggunakan kata sapaan yang bersesuaian bagi memastikan komunikasi yang dijalankan berjalan dengan lancar. Tambahan pula, kata sapaan amat penting bagi membezakan taraf sosial seseorang dan dapat mengurangkan salah faham antara satu sama lain. 

No comments:

Post a Comment