Hari ini saya mengisi masa lapang dengan menonton sebuah video sambil menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah kami. Maklumlah hari ini saya cuti jadi, tidak perlu berhempas-pulas pergi ke kuliah. Oleh itu, saya mengambil kesempatan untuk menonton sebuah rancangan iaitu Raja Lawak Nabil bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi semasa menyiapkan tugasan. Saya berasa sangat seronok kerana lawak yang ditampilkan oleh pelawak tersebut sangat mencuit hati dan boleh diterima oleh logik akal. Sebenarnya, Ahmad Nabil bin Ahmad merupakan salah seorang pelawak yang tersohor dan merupakan seorang pelawak yang digemari oleh semua lapisan masyarakat termasuklah saya. Selain mendapat kepuasan, saya juga memperoleh input yang baru bagi meneruskan tugasan untuk menulis diari harian ini.
Saya sangat tertarik untuk mengulas serba sedikit mengenai tabiat masyarakat di Malaysia. Lawak Nabil yang selamba dan penuh dengan unsur jenaka telah memberi idea kepada saya untuk mengulas serba sedikit mengenai topik ini. Pertama sekali, saya ingin menyentuh tabiat yang sering berlaku dalam golongan tua iaitu melatah. Terdapat beberapa faktor tabiat melatah iaitu genetik, persekitaran dan budaya. Tabiat melatah ini telah sinonim dengan warga emas namun, semakin menular dalam kalangan remaja pada masa kini terutamanya remaja perempuan. Kebiasaannya, golongan tua yang melatah disebabkan genetik dan persekitaran. Sementara itu, remaja perempuan yang melatah pula disebabkan persekitaran dan budaya. Mereka mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan seterusnya telah sebati dalam kehidupan seharian. Contohnya, "Oh ! Mak aku nama Kak Jah".
Sebenarnya, bagi golongan tua tabiat melatah ini berlaku di bawah sedar sehingga menyebabkan mereka tidak dapat berfikir perkataan yang disebut apabila terkejut dan kadang-kala melatah juga bertujuan untuk menarik perhatian. Namun begitu, mereka yang melatah lebih suka menyebut perkara-perkara yang tidak senonoh seperti mencarut dan tidak sesuai sekiranya didengari oleh kanak-kanak. Justeru, tabiat melatah dalam kalangan masyarakat kita sukar untuk dibendung kerana telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian.
No comments:
Post a Comment