CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday 12 March 2012

BUDAYA BAHASA SLANGA

12 Mac 2012, Isnin

Pada minggu yang lepas, kelas kami telah mengadakan pengajaran mikro. Pengajaran mikro ini dijalankan bagi mendedahkan kepada kami tentang pengajaran sebenar di dalam kelas sebelum melangkah ke alam persekolahan yang sebenar. Pada mulanya, kami berasa sedikit kekok untuk mengaplikasikan semua kemahiran tersebut. Namun begitu, setelah mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada pensyarah kami, kami berasa lebih yakin untuk berhadapan dengan situasi sekolah sebenar pada masa akan datang,

      Terdapat pelbagai perkara yang ditekankan oleh pensyarah kami semasa menjalankan pengajaran mikro seperti nada suara, tona dan intonasi, penampilan yang menarik, suara jelas dan lantang, penggunaan bahasa dan sebagainya. Perkara yang paling sukar semasa menjalankan pengajaran mikro ialah penggunaan bahasa standard dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Rata- rata sahabat saya termasuklah saya sendiri turut mendapat teguran daripada pensyarah kami mengenai penggunaan bahasa. Kami menghadapi sedikit kekangan untuk mengaplikasikan penggunaan bahasa standarad semasa pengajaran dijalankan. Hal ini demikian kerana, kami telah sebati dengan budaya bahasa harian seperti dialek, bahasa slanga, bahasa basahan, bahasa pasar dan sebagainya. Kesemua bahasa ini  lebih menjurus kepada bahasa tidak formal dan sering digunakan dalam urusan tidak rasmi. Tambahan pula, ia turut dianggap lebih rendah tarafnya daripada bahasa standard.

    Namun begitu, budaya bahasa slanga sering menjadi ikutan dalam kalangan remaja seperti brader, pakwe, mengancam, sekeh, boring, ok dan sebagainya. Sebenarnya, penggunaan bahasa slanga semakin popular dalam kalangan remaja disebabkan mendapat pengaruh melalui medium tertentu seperti filem, sahabat handai, bacaan komik serta majalah dan sebagainya. Medium penyebaran yang amat luas telah menyebabkan kami terikut-ikut dengan budaya bahasa slanga sehingga menjadi sebahagian daripada  budaya bahasa harian kami. Namun begitu, penggunaan bahasa slanga yang meluas dalam kalangan remaja telah menyebabkan wujudnya bahasa slanga yang bukan sahaja digunakan dalam percakapan sebaliknya turut digunakan dalam penulisan. Keadaan ini boleh menjejaskan kedaulatan bahasa. Oleh itu, kami selaku bakal guru bahasa Melayu sering kali dinasihatkan agar menggunakan bahasa standard dalam P&P supaya menjadi role model kepada murid-murid kelak. Bahkan, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi memartabatkan bahasa Melayu standard  dalam kalangan masyarakat pada hari ini.


      Contoh istilah-istilah baru yang muncul kesan daripada penggunaan bahasa slanga ialah caye (percyaya), camni (macam ini), pe  cite (apa cerita), giler (gila), teypon (telefon), lak (pula), pastu (lepas itu), nape (kenapa),amacam (apa macam) dan sebagainya.

Ulasan: Masalah penggunaan bahasa slanga harus ditangani dengan segera supaya generasi muda pada masa akan  datang tidak terpengaruh dengan budaya bahasa slanga yang digunakan pada masa kini. Justeru, penggunaan bahasa Melayu standard tidak akan terhakis dan disanjung tinggi oleh semua golongan masyarakat. 




No comments:

Post a Comment