CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, 5 March 2012

KERANA SEBOTOL AIR MINERAL

05 Mac 2012, Isnin

Pada minggu yang lepas, saya dan sahabat karib saya telah pergi ke Kuala Lumpur. Maklumlah baru dua minggu menetap di UPSI, bebanan tugasan pun masih sedikit. Jadi, kami mengambil kesempatan untuk menghabiskan waktu yang terluang pada hujung minggu. Kami hanya sekadar mencuci mata, membeli barang-barang keperluan dan paling istimewa dapat melihat telatah manusia di kota raya. Kadang-kala memerhati gelagat manusia di kota Metropolitan sungguh mengasyikkan maklumlah pelbagai telatah yang dipamerkan. Kebanyakkan masyarakat di bandar sibuk dengan  perniagaan mereka di tepi jalan, berhempas pulas menuju ke tempat kerja, sibuk menarik perhatian pelanggan, tawar-menawar, bercelotoh dan sebagainya. 

    Saya tertarik dengan gelagat dua orang pekedai runcit di perhentian bas. Pada ketika itu, saya sedang menunggu bas untuk pulang ke kolej. Tiba-tiba tekak terasa haus pula. Jadi, saya mengambil keputusan untuk membeli sebotol air mineral di salah sebuah kedai yang berhampiran. Saya berjalan dengan selamba menuju ke salah sebuah kedai yang berhampiran. Tiba-tiba, kedua-dua Mak Cik yang menjual di kedai tersebut menjerit-jerit memanggil nama 'Adik". Pada mulanya saya menganggap panggilan itu tidak ditujukan kepada saya kerana kedua-dua Mak Cik itu menjerit dengan kuat dan lantang. Namun, tekaan saya kali ini meleset. Saya hanya berjalan seperti biasa dan menuju ke kedai yang berhampiran dengan saya. Kedua-dua pemilik kedai itu adalah orang Melayu pada dasarnya. Jadi, saya berasa hairan apabila saya memandang Mak Cik  B di kedai yang bersebelahan dengan kedai tersebut memandang saya dengan renungan yang tajam dan muka yang begitu kelat.
 
    Walau bagaimanapun, saya cuba untuk tersenyum ke arahnya dengan hati yang sedikit gusar. Saya meneruskan niat saya untuk membeli sebotol air mineral di kedai Mak Cik A. Saya berasa sangat senang hati kerana menerima layanan yang begitu baik dari Mak Cik A. Beliau sangat peramah dan begitu mesra. Layanan yang diberikan membuatkan saya berasa sangat istimewa dan dihargai sebagai pelanggan walaupun hanya membeli sebotol air mineral. Sebelum saya beredar dari situ, saya hanya memandang sekilas ke arah Mak Cik B di kedai yang bersebelahan. Namun, Mak Cik B masih bermasam muka dan kelat. Hati saya tertanya-tanya dan berfikir sejenak, "Kenapa Mak Cik B langsung tidak melemparkan sedikit senyuman terhadap saya sedangkan Mak Cik A sebaliknya". Owh! rupa-rupanya kedua-dua Mak Cik tersebut bersaing untuk  mendapatkan pelanggan demi mengaut keuntungan. 


Ulasan : Kadang-kala kita tidak akan menyangka situasi ini akan terjadi terhadap diri kita. Sememangnya kita tidak dapat menjaga hati semua pihak tetapi cubalah berbuat baik dan menjaga perilaku sama ada menerusi pertuturan atau bahasa badan. Hal ini bertujuan untuk menjaga hati orang lain agar mereka tidak terguris dengan perlakuan kita kelak.