14 Mac 2012, Rabu
Hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai pengetahuan mengenai penggunaan kata ganti nama diri pertama loghat Kelantan kepada sahabat-sahabat semua. Hal ini demikian kerana, salah seorang sahabat saya gemar menggunakan loghat Kelantan dan belajar bahasa Kelantan. Namun begitu, dia terlepas pandang mengenai penggunaan kata ganti nama diri pertama seperti aku, kawe, ambo, oghe, kawe,sayo dan kito. Oleh itu, saya ingin menjelaskan sedikit pengetahuan yang sedia untuk di kongsi bersama. Kata ganti nama ini juga sama seperti kata ganti nama diri pertama di negeri-negeri lain seperti i, saya, aku, ceq, awak, gua, lu, kome, hang, dan sebagainya.
Sebenarnya, kata ganti nama diri pertama ini mempunyai skop dan sesuai digunakan dalam situasi tertentu sahaja. Penggunaan kata ganti nama diri pertama adalah seperti berikut:
a) Aku - merujuk kepada perbualan yang dilakukan oleh dua orang atau lebih kawan yang dekat dengan kita seperti rakan karib, teman sekuliah, teman sebilik dan sebagainya. Contohnya, "Aku gi dulu deh! (Saya pergi dulu).
b) Sayo (saya) - merujuk kepada perbualan yang dilakukan oleh dua orang atau lebih apabila berhadapan dengan kawan-kawan yang baru dikenali atau majlis rasmi. Sering digunakan bagi golongan wanita. Contohnya, "Ade hok buleh sayo bantu?" (Ada yang boleh saya bantu?)
c) Kawe - Seperti aku dan perbualan dilakukan oleh 2 orang atau lebih kawan yang kurang rapat atau mesra. Sering digunakan oleh golongan lelaki. Ia juga digunakan sebagai bahasa pertuturan dengan kawan yang kelihatan sebaya dengan anda. Contohnya, "Kawe rasa Kelate mene male ni!" ( Saya rasa Kelantan akan menang malam ini!).
d) Ambo- merujuk kepada perbualan yang dilakukan lebih formal untuk menunjukkan rasa hormat terhadap seseorang atau audiens yang lain. Contohnya, ahli politik yang sedang berucap di khalayak ramai atau individu yang ingin menunjukkan rasa hormat kepada sesiapa yang lebih tua. Ambo juga merujuk kepada perasaan rendah diri terhadap seseorang. Contohnya, "Ambo tokse nyusah ko Pok cik." (Saya tidak mahu menyusahkan Pak cik)
e) Kito- penggunaan kito atau kita (singular dan bukan plural) merujuk kepada perbualan seseorang yang lebih muda kepada yang lebih tua. Hal ini bertujuan untuk menunjukkan rasa hormat terhadap golongan yang lebih tua. Sering digunakan oleh anak-anak muda ketika bercakap dengan emak atau bapa saudara atau saudara terdekat mereka yang kurang rapat atau jarang bertemu. Contohnya, "Maafla, kito tok de nok gi ghumoh Pok sdaro" (Maaflah, saya tidak sempat pergi ke rumah bapa saudara).
f) Oghe - merujuk kepada seseorang yang bercakap dengan saudara terdekat seperti ibubapa, adik-beradik atau ahli keluarga untuk menunjukkan rasa hormat. Contohnya, "Abah, oghe nok gi ghumah saen meta deh." (Abah, saya hendak pergi ke rumah kawan sekejap.)
Ulasan: Kata ganti nama diri pertama ini sering digunakan dalam kalangan rakyat Kelantan. Namun begitu, kesemua kata ganti nama ini mempunyai skop dan hierarki yang perlu diketahui agar komunikasi yang dijalankan dapat berjalan dengan lancar. Seterusnya, salah faham antara pendengar dan penerima maklumat semasa berkomunikasi dapat dikurangkan.
No comments:
Post a Comment