Hujung minggu dah berakhir jadi, masa untuk bersenang-lenang telah tamat kerana hari kuliah telah bermula. Biasanya saya dan teman sebilik sering menghabiskan masa lapang dengan menonton drama dan filem di bilik atau keluar ke pekan untuk bersiar-siar. Kami sudah seperti adik-beradik tetapi suka bergaduh secara halus apalagi kalau bukan secara sindiran. Bagi kami, sindiran adalah perkara biasa kerana ia dijadikan sebagai gurauan. Teman sebiliklah tempat bermanja, bergaduh, melepaskan tekanan, dan sebagainya. Sayu rasa hati kerana sisa-sisa waktu di sini semakin beransur pergi.
Sindiran boleh dijadikan gurauan sekiranya mereka telah mengenali kita dengan lebih rapat. Tempoh hari, kami asyik menyindir antara satu sama lain apalagi kalau bukan tentang jadual kuliah dan tugasan. Kadang-kala saya berasa sangat lucu kerana kami bukanlah dari kursus yang sama tetapi asyik menyindir tidak tentu pasal. Hakikatnya, jadual kami berbeza dan tugasan juga berbeza. Namun begitu, sindiran teman sebilik saya telah menyebabkan saya sering tidak lupa akan sesuatu perkara yang perlu dilakukan. Contohnya, "untunglah cuti hari selasa tidak ada kelas jadi, hendak pergi mendengar taklimat praktikum pun tidak penat". Sindiran yang sering dilemparkan olehnya mengandungi unsur logik akal dan menyebabkan saya dapat mengingati perkara-perkara penting dalam hidup saya. Misalnya, tarikh taklimat praktikum, tentang kuliah, tentang tugasan dan sebagainya.
Ulasan :Sindiran bukan sahaja mendatangkan kesan negatif sebaliknya turut memberi kesan yang positif. Hal ini demikian kerana, setiap sindiran yang dilontarkan akan mempengaruhi seseorang individu sama ada untuk menerima dengan hati yang terbuka atau sebaliknya. Namun, penggunaan bahasa juga perlu dijaga agar kita tidak menyakiti perasaan orang lain dan bertujuan untuk bergurau-senda.
No comments:
Post a Comment