CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday 27 May 2012

ISTILAH-ISTILAH

28 Mei 2012, Isnin

1) Sosiolinguistik
- Kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat.
- Menghubungkan faktor-faktor kebahasaan, ciri-ciri & ragam
   bahasa dengan situasi serta faktor sosial dan budaya.

2) Sosiologi    
 - Ilmu yang meliputi segala jenis hal tentang masyarakat.
 - Kajian ilmiah tentang struktur sosial.
 - Ilmu berkenaan dengan bentuk-bentuk tindakan manusia
   dalam masyarakat.

3) Linguistik    
 - Ilmu pengetahuan yang mengkaji tentang bahasa.
 - Ia merangkumi semua segi komunikasi manusia  dari bunyi
    bahasa kepada seluruh kerencaman pemikiran manusia yang
    dinyatakan  dalam bentuk lisan dan tulisan.

4) Setia Bahasa
  - Sikap penutur yang positif terhadap sesuatu bahasa.
  - Yakin terhadap kemampuan bahasa berkenaan sebagai alat
     pemikiran & alat komunikasi. (Asmah Hj. Omar, 2002:62)

5) Bilingualisme
- Seseorang mengetahui dan menguasai dua bahasa, menggunakan
  dua bahasa tersebut dalam kehidupan sehari-hari.
  
6) Dialek        
 - Loghat atau pelat. Ia merupakan satu kelainan bahasa
   yang berbeza daripada segi bentuk sebutan, tatabahasa
   dan kosa kata berbanding bahasa baku.

7) Bahasa Pijin
- Bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa.
   Bahasa ini terbentuk dan tidak boleh dikategorikan
   kepada salah satu bahasa asal.

8) Gangguan bahasa
- Penyimpangan daripada norma kedua-dua bahasa
  yang berlaku dalam bahasa yang digunakan oleh
  bilingualisme sebagai akibat daripada kebiasaan
  menggunakan lebih daripada satu bahasa.

9) Poliglosia
- Wujud dalam suasana kepelbagaian bahasa, dialek
   atau laras bahasa yang kedudukan pelbagai - tinggi,
   formal,rasmi, rendah, tidak formal, tidak rasmi, basahan.

10) Dwiglosia
- Penggunaan dua bahasa berlainan atau dua
   kelainan bahasa yang satu tinggi, rasmi dan formal
   sedangkan satu lagi rendah, tidak rasmi  dan basahan.
   Contoh : Bahasa Melayu baku dengan dialek Melayu.








              

Saturday 5 May 2012

BAHASA MAT REMPIT


04 Mei 2012, Jumaat

Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram. kebiasaanya, mereka menggunakan moto kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Mereka sering berlumba dan ada yang menunggang secara berbahaya di tepi jalan. Selain itu, mereka juga mempunyai istilah atau bahasa yang sering diguna pakai dalam kehidupan seharian mereka. Itilsah atau bahasa yang digunakan mempunyai pelbagai kaedah dan gaya penciptaan. Antara istilah yang sering digunakan ialah 'gegar', 'kenduri', 'panas' bagi bahasa Melayu manakala dalam bahasa Inggeris seperti try test, relax dan race. Namun begitu, penggunaan bahasa atau istilah yang sering digunakan oleh Mat Rempit akan sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa. Terdapat beberapa contoh perkataan lain yang sering digunakan oleh mereka seperti di bawah.

1) Lauk, Bohsia, Cikaro, Anak Burung, Chicken, Ayam 
    - Perempuan untuk aktiviti seks.

2) Kencing kuat
   - Suka menipu

3) Test Power, Jom tiga Tiang
   - Ajakan untuk berlumba haram.

4) Barang panas
   - Barang curi atau barang yang menjadi rebutan atau permintaan.

5) Bakar line
   - Aktiviti lumba haram atau ajakan untuk lumba haram.

Ulasan : Budaya Mat Rempit dikatakan sangat popular dan menjadi ikutan dalam kalangan remaja. Keadaan ini menunjukkan bahawa pengaruh Mat Rempit sangat besar dalam kalangan remaja. Namun begitu, penciptaan istilah atau bahasa yang digunakan akan memberi impak negatif kepada para pelajar dalam penulisan karangan mereka. Justeru, langkah untuk membendung masalah ini perlu diambil dengan segera agar tidak berlarutan.

Friday 4 May 2012

BAHASA KIASAN

03 Mei 2012, Khamis

Bahasa kiasan atau bahasa perbandingan adalah kata-kata yang disusun secara ringkas dan khas. Kata-kata ini menunjukkan keadaan seseorang atau sesuatu benda, iaitu dengan cara yang dikhaskan atau dibandingkan dengan benda, orang serta perkara lain. Penggunaan bahasa kiasan sangat popular dalam kalangan masayrakat Melayu. Hal ini demikian kerana, bahasa kiasan sering digunakan untuk menjelaskan maksud sesuatu yang diucapkan untuk mengindahkan bahasa. Kebiasaannya, bahasa kiasan sering menggunakan perkataan seperti, bagai, macam, bak, laksana, umpama dan sebagainya.

Contoh situasi:

"Bawa kereta elok-elok. Jalan raya di sini bengkang-bengkok seperti ular kena palu. Kata ibu kepada abang yang ingin ke bandar.

Berdasarkan situasi di atas, ibu menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan keadaan jalan raya yang tidak sistematik dan menyuruh abang supaya berhati-hati.

Contoh bahasa kiasan yang lain:

- Bijak laksana pendeta
- Cantik laksana bidadari
- Bersinar seperti permata

Ulasan: Bahasa kiasan merupakan bahasa perbandingan yang ringkas, indah dan sangat bermakna. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya bahasa kiasan ini popular dalam kalangan orang tua dan sangat sesuai untuk menggambarkan sesuatu keadaan dengan cara yang betul. Namun begitu, penggunaan bahasa kiasan yang betul sangat penting agar maksud yang hendak disampaikan tercapai.

MAKNA KONOTATIF

02 Mei 2012, Rabu

Makna konotatif ialah makna yang ada kaitan dengan nilai rasa, baik positif mahupun negatif. (Nik Safiah Karim, 2004). Sekiranya nilai rasa itu tidak wujud, maka sifat perkataan itu mungkin tidak memihak mana-mana. Contohnya, walaupun perkataan perempuan dan wanita mempunyai makna denotatif yang sama tetapi kedua-duanya mempunyai nilai rasa yang berbeza. Nilai perkataan wanita mempunyai nilai rasa yang lebih tinggi daripada perempuan. Begitu juga dengan perkataan lelaki dan jantan. Nilai rasa lelaki lebih tinggi daripada perkataan jantan. 

Contoh situasi :

 "Jantan tak guna! Awek aku pun kau nak kebas ke?" 

     Berdasarkan situasi di atas, penggunaan perkataan jantan  merupakan bahasa percakapan lelaki yang dianggap kaki perempuan serta rendah akhlaknya. Keadaan ini membuktikan bahawa penggunaan perkataan lelaki dan jantan mempunyai nilai rasa yang berbeza dan perlu digunakan dengan betul agar mengikut kesesuaian tertentu.

     Selain itu, makna konotatif atau makna tambahan juga boleh berubah mengikut faktor-faktor tertentu. Contohnya, perkataan "khalwat". Maksud asalnya ialah 'mendekati Allah', duduk bersendirian perihal (perbuatan) mengasingkan atau memencilkan diri kerana menenangkan fikiran, bertafakur (Kamus Dewan,2004). Namun, maksud perkataan ini telah berubah dan dianggap sebagai suatu perbuatan sumbang (Kamus Dewan, 2004). 

Ulasan : Hal ini jelas menunjukkan bahawa makna konotatif mempunyai nilai rasa tertentu yang membezakan sesuatu perkataan tersebut dengan perkataan yang lain. Tambahan pula, makna konotatif ini tidak spesifik pada bahasa tetapi dikongsi bersama sistem komunikatif seperti seni visual dan muzik. 



HUKUM DM DALAM FRASA NAMA



01 Mei 2012 , Selasa 

Kita sering terlepas pandang mengenai penggunaan bahasa yang betul semasa berkomunikaai. Hal ini demikian kerana, penggunaan bahasa tersebut telah sebati dalam kehidupan seharian kita. Misalnya, hukum DM sering disalahguna oleh sesetengah masyarakat sehingga membawa makna yang tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan. (D) merujuk kepada "Diterangkan" manakala (M) merujuk kepada "Menerangkan". Sesuatu perkara yang mahu "Diterangkan' harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang "Menerangkan".

      Contohnya, apabila kita mahu merujuk kepada pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan "pisang"sebagai kata nama yang diterangkan dahulu kemudian disusuli "goreng" sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan bukannya "goreng pisang" kerana ia merujuk kepada frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.

Situasi :

1) Ibu dan ayah makan pisang goreng sambil menonton televisyen. (betul)
2) Ibu dan ayah makan goreng pisang sambil menonton televisyen. (salah) 

Contoh kesalahan yang lain ialah :

Cili sos - Sos cili (sos yang dibuat daripada cili ).
Fairuz Kedai Tayar - Kedai tayar Fairuz (kedai tayar kepunyaan Fairuz).

Ulasan : Penggunaan hukum DM yang betul amat penting bagi memastikan makna yang hendak disampaikan semasa menjalankan proses komunikasi tidak meleset dan mudah difahami. Namun begitu, terdapat beberapa frasa nama yang menerima kekecualian dalam  Hukum DM seperti Perdana Menteri, ibu pejabat, Naib Canselor dan sebagainya.

Sunday 29 April 2012

BAHASA MELAMPAU

27 April 2012, Jumaat

Bahasa melampau ialah bahasa yang mengatakan sesuatu perkara itu secara berlebih-lebihan melebihi apa yang sepatutnya hingga kadang-kadang tidak diterima logik akal. Penggunaan bahasa melampau ini adalah bertujuan untuk memberi pujian kepada seseorang individu secara berlebihan atau mengatakan sesuatu perkara yang melampaui batas. Namun begitu, penggunaan bahasa melampau ini akan menyebabkan individu yang menerima pujian menerusi bahasa melampau akan berasa bangga diri dan akan memandang rendah terhadap orang lain. Keadaan ini dapat digambarkan seperti di bawah:

Contoh situasi : Kecantikan wajahnya itu tidak ada tolok bandingannya di dunia ini.

Berdasarkan contoh di atas, seseorang individu telah mengatakan tentang kecantikan seorang wanita yang mempunyai kecantikan luar biasa sehingga tiada bandingan. Namun, kita hendaklah berfikir secara logik terlebih dahulu kerana kecantikan adalah perkara yang abstrak dan kemungkinan berbeza pendapat antara satu sama lain. Sesetengah orang mempunyai kepakaran masing-masing dalam melihat kecantikan seseorang individu sama ada secara luaran atau dalaman.

Ulasan: Justeru, kita perlulah berhati-hati apabila menggunakan bahasa melampau agar tidak melampaui batas dan menimbulkan riak dalam diri seseorang walaupun kadang-kala ia dapat menimbulkan kesan yang positif dalam diri seseorang seperti yakin diri dan menjadi motivasi kepada dirinya kelak.

BAHASA MERENDAH

26 April 2012, Khamis

Bahasa merendah digunakan oleh seseorang individu apabila ingin mengatakan sesuatu perkara itu kecil dan kurang. Tujuannya untuk merendah diri. Keadaan ini akan menyebabkan dirinya lebih disukai oleh masyarakat kerana mempunyui sifat terpuji iaitu merendah diri. Tambahan pula, bahasa merendah jarang digunakan dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini kerana masyarakat sekarang ketandusan budi bahasa disebabkan arus pemodenan negara. Penggunaan bahasa merendah ini dapat digambarkan seperti situasi di bawah :

Contoh situasi  :

"Terimlah sedikit hadiah yang tidak seberapa ini."

Berdasarkan situasi di atas, individu tersebut telah menggunakan bahasa merendah apabila ingin menghadiahkan seseorang individu yang lain sebuah hadiah. Jadi, menerusi penggunaan bahasa merendah ini, penerima hadiah dapat mengetahui bahawa individu tersebut seorang yang ikhlas dan tidak suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

Ulasan: Bahasa merendah merupakan bahasa yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian kita terutamanya dalam kalangan anak-anak agar mereka dapat menanamkan sifat merendah diri dalam diri mereka apabila berkomunikasi dengan orang lain.