CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, 16 March 2012

REMAJA

15 Mac 2012, Khamis

Pada minggu lepas, saya dan kakak telah keluar bersama-sama untuk makan malam. Seperti biasa apabila ada kelapangan, kami akan keluar bersama-sama untuk menghabiskan masa bersama. Pada waktu itu, kami telah singgah di sebuah kedai makan. Kami mengambil keputusan untuk singgah di kedai itu kerana agak berdekatan dengan rumah kakak saya. Kedai makan tersebut boleh dikatakan agak besar dan maju seperti sebuah restoran mewah kerana mempunyai pelbagai menu dan sering dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat. 

    Saya dan kakak berbual-bual sambil menunggu pesanan kami sampai. Pada masa yang sama, saya turut mengambil kesempatan untuk melihat gelagat pelanggan yang berkunjung ke situ. Semasa saya sedang asyik melihat telatah seorang kanak-kanak tiba-tiba, datang sekumpulan remaja lelaki dan perempuan dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dan duduk berhampiran dengan kami. Mereka sangat akrab antara satu sama lain dan bergurau senda walaupun bahasa yang digunakan agak keterlaluan dan biadap seperti biol, bodoh, gila dan sebagainya. Namun, bagi saya mungkin itu salah satu cara golongan remaja bergurau senda dengan sahabat karib mereka. Mereka kelihatan masih muda dan kebudak-budakkan. Namun begitu, cara pemakaian mereka masih menunjukkan mereka seorang yang berpelajaran dan mengamalkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. 

    Apabila pesanan kami sampai, saya dan kakak menikmati hidangan kami dan ingin segera beredar dari situ kerana semakin larut malam. Tiba-tiba, saya terdengar salah seorang remaja perempuan di situ memanggil pelayan tersebut untuk membuat pesanan namun, tidak diendahkan. Kemudian, remaja lelaki tersebut kelihatan sangat marah dan segera memanggil pelayan wanita yang berhampiran dengan cara sebaliknya iaitu bersiul-siul. Remaja itu bersiul-siul berulang kali sehingga pelayan tersebut tiba dan mengambil pesanan mereka. Selalunya kita sering melihat sikap ini di televisyen dan sering dilakukan oleh pelakon yang memegang watak Mat Rempit namun, saya berpendapat bahawa remaja tersebut seharusnya menggunakan bahasa pertuturan yang lebih sopan kerana pelayan wanita itu kelihatan lebih tua dari mereka dan berasa tidak selesa dengan sikap remaja tersebut. 


                                                     
                                                       Burung serindit terbang melayang,
                                                       Mari hinggap di ranting mati,
                                                       Bukan ringgit di pandang orang,
                                                       Budi bahasa rangkaian hati.

Ulasan:  Slogan "Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara", sering dilaung-laungkan oleh pemimpin kita dan sering diiklankan di televisyen menunjukkan bahawa harapan negara kepada anak-anak belia kita sangat tinggi kerana mereka akan mengganti tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan. Oleh itu, sebagai anak-anak belia yang berpendidikan seharusnya pandai membawa diri dan tidak lupa tentang aspek kesantunan berbahasa yang telah diwarisi oleh nenek moyang kita terdahulu.

                                         




No comments:

Post a Comment